Latar belakang Perang Salib Ketiga

Apabila Jeneral Imaduddin Zangi wafat, tempatnya diganti oleh anaknya Nuruddin. Nuruddin yang ketika itu menguasai Damsyik dan seluruh Syria turut ingin menguasai Mesir yang diperintah Kerajaan Fatimiyyah. Nuruddin menghantar panglimanya Asaduddin Shirkuh ke Mesir. Shirkuh ditemani oleh anak saudaranya Salahuddin. Selepas kematian pakciknya pada 1169, Salahuddin Al-Ayubbi menggantikan tempatnya sebagai panglima, dan seterusnya menjadi sultan kedua-dua Mesir dan Syria selepas kewafatan Nuruddin pada tahun 1174. Dengan penyatuan itu, Salahuddin menjadi cukup kuat untuk berlawan dengan kerajaan Kristian di Palestin dan Lubnan. Pada tahun 1187, Salahuddin menawan Jerusalem (Baitulmuqaddis).

Sekali lagi penduduk Eropah merasa terhina. Mereka mendesak raja-raja Eropah untuk bersatu-padu menentang Salahuddin. Akhirnya Richard si Hati Singa, raja England, Philippe Augustus, raja Perancis dan Friedrich Barbarossa, raja Jerman dan Empayar Suci Rom, berpadu tenaga menuju ke Jerusalem. Cukai istimewa dikenakan di kedua-dua negara, Perancis dan England, untuk membiayai Perang Salib ini.